Pancutan awal atau cepat klimaks ialah masalah yang sering dihadapi lelaki. Ia juga dikenal pasti sebagai keluhan sebilangan besar suami yang baru berjinak-jinak dalam hubungan intim seksual.
Sebilangan besar daripada mereka dapat mengatasinya dengan cara tersendiri dan yang lain masih kekal dengan dilema itu. Mengikut definisi cepat klimaks, jika ereksi tidak dapat bertahan lebih seminit dalam faraj, itu dipanggil masalah pancutan awal atau cepat klimaks.
Ada sebilangan lelaki yang cepat klimaks tetapi dapat mengekalkan ereksi dan meneruskan hubungan kelamin untuk seketika.
Ada juga lelaki yang dapat bertahan selepas klimaks dan kembali aktif untuk melakukan seks penetratif kali kedua dengan lebih bersemangat.
Sudah tentu kemampuan ini sedikit sebanyak melegakan tekanan akibat masalah berkenaan. Lagipun, hubungan seks ialah sesuatu yang menyeronokkan dan boleh dilakukan sekerap mana diingini pasangan.
Sememangnya dalam keadaan teruja, lelaki atau suami sukar mengawal ejakulasi, walaupun masih dapat mengekalkan ereksi. Jangan fikir sangat mengenai masalah itu asalkan kedua-dua pihak dapat mengecapi keseronokan bersama.
Bagaimanapun, kajian mengenai kekerapan hubungan kelamin menunjukkan, lebih kerap hubungan kelamin dilakukan adalah lebih baik, dan ia secara tidak langsung dapat mengawal keadaan cepat klimaks.
Jika memasuki tiga bulan atau lebih dan masalah cepat klimaks masih berterusan, mustahak untuk lelaki itu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.
Ramai lelaki yang mengalami masalah cepat klimaks akan mencuba segala ‘penawar’ tanpa mengetahui sama ada ia benar-benar selamat dan berkesan atau sebaliknya.
Segala minyak, krim, losen dan gel dijadikan penawar ajaib yang dapat membantu masalah cepat klimaks. Bagaimanapun, usah mudah tertipu dan membazir duit anda secara membabi buta untuk membeli produk palsu.
Barangkali, jika ada yang membeli produk terbabit, anggota kelamin suami dan isteri menjadi radang dan bengkak akibat penggunaannya.
Setahu saya, tiada krim, losen, jel atau minyak yang dapat membantu mengatasi masalah cepat klimaks. Kebanyakan bahan berkenaan mengandungi kimia atau ubat peradang yang menyakitkan kulit dan kulit yang radang itu menjadi seakan-akan tidak sensitif dan hilang rasa.
Kesudahannya, fungsi urat saraf penghujung zakar musnah atau rosak. Jika kulit alah dengan bahan terbabit, anggota kelamin suami dan isteri terasa gatal dan menggelupas. Jika nasib tidak baik, anda mungkin terkena jangkitan dan keadaan menjadi lebih teruk.
Saya tidak syorkan apa-apa krim, jeli, losen atau minyak yang kononnya dapat membantu mengatasi masalah cepat klimaks. Jel mengandungi ubat pengebas tulen seperti xylocaine atau novocaine memerlukan nasihat doktor dan tidak boleh dibeli tanpa surat doktor.
Pendek kata, jangan mudah terpengaruh dengan produk palsu yang banyak dijual di luar sana. Mengikut pemantauan saya, setiap minggu pasti ada krim, jeli dan pelbagai produk lain dijual dengan pelbagai nama dan kononnya mendapat pengiktirafan daripada pelbagai jenis doktor.
Jangan mudah terpedaya. Paling penting, jika masalah anda berterusan, dapatkan nasihat doktor.
Oleh Dr Ismail Thamby
0 komentar:
Posting Komentar